Profil Bahagian

on .

Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan salah satu Bahagian di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia. Bahagian ini diketuai oleh Setiausahan Bahagian (SUB) dan dibantu oleh dua (2) orang Timbalan Setiausaha Bahagian (TSUB) dan seorang Ketua Pustakawan. Pengurusan Bahagian ini dibantu oleh seramai 267 orang pegawai dari kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dan Pelaksana (Sehingga April 2017).

Bahagian Khidmat Pengurusan mempunyai tiga (3) cawangan iaitu:

  1. Cawangan Pengurusan Am
  2. Cawangan Kewangan dan Pengurusan Aset
  3. Cawangan Sumber Maklumat 

Cawangan Pengurusan Am mempunyai enam (6) Unit dengan lapan (8) sub-unit memberi fokus dan penekanan kepada pengurusan dalaman di peringkat Ibu Pejabat KKM. Selain itu, cawangan ini juga bertindak sebagai penyelaras kepada pengurusan latihan dan kompetensi anggota di Ibu Pejabat KKM yang sebelum ini dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Latihan (BPL). Ini bertujuan untuk memusatkan fungsi sumber manusia di peringkat Ibu Pejabat KKM secara berkesan dan teratur di samping memperkemaskan tugas-tugas perancangan dan pemantauan serta penilaian dalam meningkatkan kualiti pengurusan di seluruh KKM.

Cawangan Kewangan dan Pengurusan Aset mempunyai tiga (3) Unit dengan sebelas (11) sub-unit bertangggungjawab dalam aspek kewangan terutamanya dalam melaksanakan tugas-tugas seperti penyaluran waran peruntukan, penyelarasan Perjanjian Program bagi Program Pengurusan dan Laporan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan, pembayaran emolumen, pemungutan hasil serta hal-hal yang berkaitan dengan permohonan penyewaan ruang pejabat peringkat KKM, pengurusan aset, penyelenggaraan bangunan dan kebersihan peringkat Ibu Pejabat KKM.

Cawangan Sumber Maklumat mempunyai satu (1) Unit dengan tiga (3) sub-unit bertanggungjawab dalam perkhidmatan perpustakaan Ibu Pejabat KKM, penyelaras kepada perpustakaan perubatan di bawah KKM dan pengurusan Portal Virtual Library

Secara keseluruhannya, Bahagian ini bertanggungjawab menyediakan khidmat sokongan yang cekap dan berkesan dari segi pengurusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan aset, pengurusan kualiti dan protokol, pengurusan psikologi kaunseling serta pengurusan sumber maklumat dengan :

  • Memastikan pengurusan pentadbiran, kebajikan, anggota dan pejabat mengikut peraturan-peraturan yang berkuatkuasa
  • Memastikan semua urusan berkaitan dengan perkhidmatan, kemudahan dan kerjaya anggota Ibu Pejabat diurus dan dikemaskini dari semasa ke semasa
  • Memastikan pengurusan dan pemantauan urusan kewangan (di bawah PTJ 1) Ibu Pejabat mengikut pekeliling-pekeliling dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa
  • Memastikan semua urusan majlis-majlis rasmi Kementerian berjalan lancar
  • Memastikan penyediaan perkhidmatan psikologi kaunseling profesional kepada anggota Kementerian Kesihatan yang ingin meningkatkan potensi diri ke arah kecemerlangan prestasi diri
  • Memastikan penyediaan perkhidmatan rujukan maklumat / koleksi perkhidmatan yang terkini dan mesra pelanggan